Dalam konteks kehidupan beragama di negara ini penduduknya terdiri daripada Islam dan bukan Islam. Menurut syariat Islam, pada dasarnya terdapat dua jenis status orang bukan Islam atau Non-muslim iaitu Kafir Harbi dan Kafir Dzimmi.
Secara ringkasnya Kafir Harbi adalah merujuk kepada orang bukan Islam yang terlibat dalam peperangan membunuh orang Islam di dalam wilayah yang bergolak. Pada masa ini, mimbar amat meyakini terdapat ejen-ejen kafir harbi yang bergerak secara senyap menimbulkan perpecahan atau pun menggunakan isu-isu agama di negara Islam. Contoh jelas ialah apa yang berlaku di beberapa negara Asia Barat.
Manakala orang Kafir Dzimmi pula merujuk kepada orang bukan Islam yang menetap dalam negara Islam, mendapat kerakyatan, membayar cukai yang ditetapkan dan mendapat jaminan keamanan daripada pemerintah Islam berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.
Persoalan besar timbul ialah apakah jenis status orang bukan Islam yang terdapat di negara kita samada digolongkan sebagai Kafir Harbi atau Kafir Dzimmi. Berdasarkan pemerhatian, status orang bukan Islam di negara ini digolongkan sebagai ahli Dzimmi kerana pada prinsipnya mereka mentaati dan mengakui untuk tunduk kepada perjanjian kontrak sosial yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Salah satu persetujuan penting dalam perlembagaan itu ialah mengakui Islam adalah agama Persekutuan yang membuka jalan Islam menjadi agama yang berkuasa di negara ini. Pada masa yang sama Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sekaligus menjadi Ketua Agama Islam dan pelindung memartabatkan Islam di negeri-negeri yang berkaitan. Selari dengan kontrak sosial itu mereka tinggal aman damai, tinggal bersama dalam masyarakat Islam sebagai jiran tetangga, menjadi rakan sekerja, rakan kongsi berpolitik, rakan sepermainan dan menjadi rakan sekolah. Malah mereka diberi peluang pula berkongsi menyumbangkan tenaga memerintah negara ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri juga memain peranan besar dalam menentukan ketinggian Islam dalam perlembagaan. Pada 16 Mei 1986 Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan kalimah Allah adalah termasuk antara beberapa kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka bukan beragama Islam. Malah pada 3 Jan 2008 Jemaah Menteri sekali lagi mengulangi bahawa orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka. Malah sepuluh buah negeri telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang bertujuan melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan atas perkataan yang dilarang. Semua peraturan ini dibuat bagi menjamin keharmonian hidup beragama dan perlu ditaati oleh pihak berkaitan.
Menurut prinsip hukum Islam, memberi perlindungan dan layanan baik kepada ahli Dzimmi adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8, Maksudnya:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.
Menurut al-Quran, orang Islam dikehendaki mengadakan hubungan mesra dan baik dengan ahli Dzimmi serta bersikap adil selagi mereka tidak menentang dan menindas orang Islam atau menghalang penyebaran Islam.
Isam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia sejagat. Saidina Abu Bakar As- Siddiq pernah berpesan kepada kaum muslimin sebelum berangkat ke medan perang dengan mengingatkan tenteranya supaya jangan berbuat khianat, membunuh bayi, membunuh orang tua, membunuh kaum wanita, menyembelih binatang ternakan, menebang pokok, menghancurkan rumah penduduk, membakar ladang pertanian, mengganggu orang beribadat , merosakkan rumah ibadat, dan menyerang mereka pada waktu subuh untuk mengelak kaum wanita dan kanak-kanak menjadi panik. Kisah Saidina Umar Al-Khatab yang memasuki gereja Yahudi ketika Baitulmaqdis ditawan juga tidak menyuruh tenteranya membakar gereja, buku bible dan salib bahkan membiarkannya sahaja.
Berdasarkan ajaran al-Quran dan tindakan bijak pemimpin Islam di zaman Rasulullah SAW jelas kepada kita bahawa menzalimi dan memusuhi orang bukan Islam adalah bukan ajaran Islam. Dengan demikian perbuatan membakar gereja dan rumah ibadat orang bukan Islam menyalahi bercanggah dengan hukum Islam. Islam juga mengajar kita jangan terikut-ikut dengan emosi liar.
Bagaimana pun diingatkan kepada umat Islam sekalian bahawa mengadakan hubungan baik dengan orang bukan Islam bukanlah bermakna kita lupa tanggungjawab kita kepada Islam. Islam menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat tidak ada toleransi. Oleh itu apabila masuk waktu solat ketika melaksanakan program bersama dengan orang bukan Islam, kita utamakan bersolat, apabila kita makan pastikan apa yang kita makan itu adalah halal. Jika terdapat aktiviti yang bercampur halal dengan haram maka kita hendaklah jauhi. Apa yang lebih malang lagi dalam menjayakan toleransi itu kadang kala kelihatan penampilan akhlak orang Islam itu sama dengan tabiat orang bukan Islam.
Perlu diingatkan bahawa apabila kita ditekan dan dituntut oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan mereka, maka hendaklah kita terus berpegang kepada ajaran Islam supaya kita tidak mudah hilang pedoman. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’aam ayat 153, Maksudnya:
”Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Diseru semua umat Islam sekalian agar berwaspada dengan muslihat ejen-ejen kafir harbi ini dan jangan sekali-kali kita menggadai akidah, menggadai jati diri muslim, menggadai integriti demi untuk menjaga ketinggian agama Islam di negara ini.
Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Surah Al-Kaafirun: 1-6)
Qunut Nazilah
Qunut Nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti peperangan, wabak, kemarau dan sebagainya. Bacaan Qunut Nazilah ini pernah dibacakan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz al-Quran selama sebulan berdasarkan hadis berikut yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran.”
-Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim-
Tatacara bacaan Qunut Nazilah
Qunut ini boleh dibacakan pada tiap-tiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.
Dari Abi Hurairah radhiyallahu `anhu beliau berkata: "Demi Allah, sesungguhnya aku akan mendekatkan kamu cara solat Rasulullah S.A.W. Maka Abu Hurairah melakukan qunut pada solat Zuhur, Isyak dan Subuh.
Beliau mendoakan kebaikan untuk kaum mukminin dan memintakan laknat ke atas orang-orang kafir".
(Hadis riwayat Imam Bukhari)
Abu Hurairah radhiyallahu `anhu juga meriwayatkan bahawa sesungguhnya Nabi S.A.W tidak membaca qunut melainkan apabila beliau berdoa untuk kebaikan seseorang atau mendoakan kehancuran seseorang. Apabila baginda berkata: "sami'allahu liman hamidah" Baginda berkata “Rabbana lakalhamd dan Baginda S.A.W membaca doa”.
Qunut ini dibacakan pada waktu iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.
Diceritakan kepada kami Asim berkata, aku bertanya pada Anas bin Malik tentang qunut, lalu dia berkata sememangnya qunut itu ada. Aku berkata samada sebelum rukuk atau selepasnya, Anas berkata selepas rukuk. Aku berkata lagi, sesungguhnya seseorang telah mengkhabarkan kepadaku bahawa engkau memberitahunya sebelum rukuk. Anas berkata dia berdusta, sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca qunut selepas rukuk selama sebulan dan diperlihatkannya ketika mengutus satu kaum yang dikatakan mereka itu baik bacaannya seramai 70 orang kepada kaum musyrikin yang telah melakukan perjanjian dengan Rasulullah S.A.W.
(mengikut riwayat hadis yang lain, 70 orang al-qura’ yang diutuskan oleh Rasulullah tersebut telah dibunuh). Lalu baginda berqunut selama sebulan mendoakan kecelakaan ke atas mereka.
(Hadis riwayat Imam Bukhari)
Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.
Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diaminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.
Lafaz Doa Qunut Nazilah
![]() |
| Klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas |
Download Panduan Qunut Nazilah Disini!
Sumber : Wikipedia
Kafir Harbi dan Kafir Zimmi
Hadis Mutawatir
Mutawatir ialah kata serapan bahasa Arab yang bermaksud "diturunkan daripada seorang ke seorang". Istilah ini digunakan dalam pengajian Ulum al-Quran dan Mustalah Hadith. Hadis Mutawatir ialah nas hadis yang diketahui/diriwayatkan oleh beberapa bilangan orang yang sampai menyampai perkhabaran (Al-Hadis) itu, dan telah pasti dan yakin bahawa mereka yang sampai menyampai tersebut tidak bermuafakat berdusta tentangnya. Ini kerana mustahil terdapat sekumpulan periwayat dengan jumlah yang besar melakukan dusta.
Hadis Mutawatir, iaitu hadis yang memiliki banyak sanad dan mustahil perawinya berdusta atas Nabi Muhammad saw, sebab hadis itu diriwayatkan oleh banyak orang dan disampaikan kepada banyak orang. Contohnya, "Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tempatnya dalam neraka. " (H.R Bukhari, Muslim, Ad Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi,. Abu Ha'nifah, Tabrani, dan Hakim).
Menurut para ulama hadis, hadis tersebut di atas diriwayatkan oleh lebih dari seratus orang sahabat Nabi dengan seratus sanad yang berlainan. Oleh sebab itu jumlah hadis Mutawatir tidak banyak. Keseluruhan daripada ayat-ayat al-Quran adalah mutawatir, manakala terdapat sebahagian hadis sahaja yang mutawatir. Hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat mutawatir dikenali sebagai Hadis Ahad.
Hadis Mutawatir terbagi dua:
- Mutawatir Lafzi, yakni perkataan Nabi,
- Mutawatir Amali, yakni perbuatan Nabi.
Solat Dalam Keadaan Mengantuk
(al-Bukhari)
Huraian:
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur.
Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.
Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.
Alasan Kenapa Kita Perlu Baca al-Quran Walaupun Kita Tidak Memahaminya.
Ini adalah satu kisah yang sangat menarik. Semoga dengan cerita ini hati anda akan terbuka tentang membaca Al-Quran. Kisah ini dipetik daripada kisah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.
Mengapa Kita Membaca Al-Quran, sedangkan kita tidak memahami sepenuhnya apa yang di baca?.
Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.
Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya. Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’ Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’
Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi. Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.
Pada katika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya,’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘ Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’
Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam.
‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran. Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sedirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’


