Saturday 29 October 2011

Nikah Khitbah : Tiket untuk bercouple


Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yang diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat. Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan “coupling” (dulu disebut berdua-duaan atau merendek) antara lelaki dan wanita.









Ada yang memberi alasan untuk ber’couple’ dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum “cuba-cuba” atau “trial and error”. Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata, “Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!”

Isunya: Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, couplelah, tapi kena dengan cara yang halal, iaitu bernikah!.

Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”, “Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja, “Kamu wajib berkhitbah!”.

Khitbah

Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber’coupling’ berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?).

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda, duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.




Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja. Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa tidak akan bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kerosakan moral telah menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh media massa mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali ‘nikah gantung’ ini dengan panggilan baru iaitu ‘nikah khitbah’, walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan. Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, facebook, dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.) Saya sendiri bernikah gantung (nikah khitbah) pada 7/7/1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau keluar bersama-sama (ber’couple’) kerana dah disahkan sebagai suami isteri (gantung – sebab tidak duduk serumah) yg lebih menepati khitbah secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin, insyaAllah doakan!!

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?


Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50 atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Sebelum itu, saya mahu tanya. Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Artikel oleh: Ustaz Hashim Al-Maranji
Dipetik dari : syahirul.com

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~

+